ESEI MURID DAN PEMBELAJARAN (EDUP 3033)

 

Penulisan Akademik

Guru yang merancang pengajaran perlu memahami teori pembelajaran dan model pengajaran supaya dapat memilih pendekatan, strategi dan kaedah PdPc yang bersesuaian untuk mencapai objektif pembelajaran murid-murid.

 

Sediakan satu penulisan akademik (800 patah perkataan) dengan merujuk satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut mata pelajaran major anda. Anda perlu menganalisis teori-teori pembelajaran, pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran masa kini yang dirancang dalam aktiviti PdP tersebut. Bincangkan implikasi teori-teori pembelajaran, pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran terhadap PdP mengikut mata pelajaran dan keperluan murid.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

1.0  PENGENALAN

Perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran merupakan satu keperluan asas dalam pelaksanaan pengajaran di dalam bilik darjah. Proses dan cara pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan perlulah sentiasa interaktif serta tertumpu ke arah usaha kerajaan untuk mengimplimentasikan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) memfokuskan proses PdP yang berpusatkan murid dan guru akan bertindak sebagai fasilitator. Hal ini secara tidak langsung, guru boleh menerapkan dan mengaplikasikan pelbagai teori pembelajaran, pendekatan, strategi dan kaedah dalam proses PdP.

 

2.0  AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran Sains Tahun 2 berdasarkan standard kandungan dan standard pembelajaran daripada rancangan pengajaran harian (rujuk lampiran 1)

 

2.1.  TEORI PEMBELAJARAN

Teori pembelajaran yang digunakan dalam aktiviti ini ialah Teori Pembelajaran Kognitif. Menurut Teori Pembelajaran Kognitif Bruner dalam Noriati A. Rashid, Boon P. Y. dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2017), pembelajaran adalah melibatkan proses kognitif iaitu membuat hipotesis dan melihat ciri-ciri yang ada untuk menentukan konsep. Berdasarkan aktiviti, kognitif murid diuji bagi mencetus persoalan yang memerlukan pengetahuan sedia ada murid. Justeru itu, murid akan mengaplikasikan kaedah penerokaan yang melibatkan proses inkuiri. Proses inkuiri melibatkan perkaitan diantara pengalaman lepas dengan pengetahuan semasa murid bagi menemukan maklumat baharu yang sedang dipelajari. Proses inkuiri ini juga memerlukan murid meninjau masalah dan fenomena serta membuat hipotesis sebelum membuat rumusan.

 

2.2.  PENDEKATAN PENGAJARAN

Pendekatan pengajaran yang digunakan ialah pendekatan induktif dan tematik. Menurut Shahabuddin Hashim et. al (2007), konsep pendekatan tematik perlu menggunakan tema yang sesuai dan perlu berkait rapat dengan kehidupan harian murid. Pendekatan ini membolehkan murid menganalisis sesuatu perkara dalam ruang lingkup yang lebih besar dan mengaplikasikan pengetahuan. Secara keseluruhan, aktivti yang dirancang adalah menggunakan pendekatan bertemakan campuran bahan. Selain itu, pendekatan induktif juga digunakan oleh guru dengan mengemukakan contoh spesifik kepada kesimpulan umum. Murid akan diberi pendedahan secara umum bagi membezakan jenis campuran bahan dan seterusnya guru akan menyatakan kesimpulan umum.

 

2.3.  STRATEGI PENGAJARAN

Strategi pengajaran yang digunakan ialah strategi pengajaran berpusatkan murid. Strategi berpusatkan murid adalah apabila murid dapat membina sendiri ilmu pengetahuan dan akan berlaku pembentukan sifat-sifat sosial yang positif (Salmah Hasan, 2014). Melalui sesi pembelajaran ini, murid memperolehi pengetahuan dengan cara meneliti campuran bahan yang ditunjukkan dan seterusnya menyatakan pandangan mereka melalui persoalan. Hal ini akan menyebabkan berlaku komunikasi dua hala dalam diantara murid dan guru. Strategi berasaskan aktiviti juga berlaku apabila murid meneroka sendiri kaedah untuk mengasingkan campuran bahan itu. Menurut Noriati A. Rashid et. al (2017), guru melibatkan murid dalam aktiviti  atau tugasan yang memberikan peluang kepada murid untuk melatih atau mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari. Oleh itu, aktiviti penerokaan yang dipilih lebih berfokus kepada matlamat utama topik serta mampu memilih kaedah yang betul untuk mengasingkan sesuatu bahan.

 

2.4.  KAEDAH PENGAJARAN

Kaedah pengajaran yang dilakukan berdasarkan aktiviti yang dipilih ialah demonstrasi. Menurut Noriati A. Rashid et. al (2017), demonstrasi merupakan satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur. Melalui aktiviti demonstrasi, terdapat komunikasi secara langsung oleh guru dengan murid. Selain itu, terdapat juga penggunaan pendekatan visual untuk memerhatikan proses, maklumat dan idea semasa proses demonstrasi. Guru turut mengaplikasikan pengajaran masa kini yang berkonsepkan inquiry based learning dengan menerapkan proses inkuiri dalam aktiviti demonstrasi.

 

 

 

 

 

3.0  IMPLIKASI TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Berdasarkan teori pembelajaran kognitif yang diaplikasikan, guru haruslah mempunyai bahan penyampaian pengajaran yang mempunyai kaitan dengan pengetahuan sedia ada murid serta sesuai dengan tahap kesesuaian pelajar. Hal ini kerana, apabila proses membuat perkaitan dan inkuiri ini menjadi mudah, murid akan lebih memahami konsep pembelajaran. Oleh itu, murid akan dapat meneroka campuran bahan dengan lebih mudah melalui aktiviti penerokaan yang dijalankan oleh guru kerana sudah didedahkan dengan maklumat umum sebelum aktiviti tersebut.

 

Implikasi daripada pendekatan tematik pula, tema yang dipilih haruslah tema yang berkaitan dengan kehidupan dan pengalaman murid. Justeru itu, murid akan dapat memahami dan menghayati tema tersebut dengan lebih baik. Manakala, jika tema yang diaplikasi tidak berkaitan dengan kehidupan murid, maka fokus dan minat mereka akan berkurang. Bagi pendekatan induktif pula, ia bergantung kepada idea dan cara penyampaian guru. Guru seharusnya memberikan contoh umum yang menyeluruh dan pelbagai bagi memastikan pemikiran murid lebih berkembang dan tidak tertumpu kepada sesuatu aspek sahaja. Oleh itu, murid akan lebih berfikiran di luar kebiasaaan dan menyeluruh tentang sesuatu perkara.

 

Implikasi daripada strategi pengajaran yang berpusatkan murid adalah guru seharusnya mempunyai perancangan dan pengstrukturan yang baik berkaitan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Hal ini kerana guru hanyalah sebagai pembimbing yang bagi merangsang kepada pembelajaran yang efektif dan memastikan penglibatan semua murid dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

 

Implikasi daripada kaedah pengajaran secara demonstrasi adalah murid dapat mengaplikasikan pengetahuan sedia ada serta mempraktikkannya dalam proses PdP. Secara tidak langsung, murid dapat memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam sehingga menimbulkan minat terhadap sesuatu topik tersebut. Hal ini kerana, proses inkuiri penemuan dapat dilaksanakan seterusnya menguatkan pengetahuan sedia ada murid dalam topik tersebut.

 

 

 

4.0  PENUTUP

Konklusinya, pengaplikasian pelbagai teori pembelajaran, pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran dalam perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah kunci kejayaan sesebuah PdPc seseorang guru. Oleh hal demikian, amatlah wajar untuk seorang guru merancang pengajaran dan pembelajaran berpandukan kriteria-kriteria ini supaya sesi pengajaran dan pembelajaran daoat mencapai objektif yang ditetapkan seterusnya melahirkan individu yang cemerlang dari setiap aspek.

 

                                                                                                                 (799 patah perkataan)

Comments

Popular posts from this blog

REPORT AMALI 1 BIOLOGI (SCE 1034)

REPORT AMALI 1 KIMIA (SCE 1014)

ESEI 1 KESANTUNAN BAHASA MALAYSIA ( GSB1012)