MPU3052 : Tamadun Islam dan Tamadun Asia

 

1.0 Pengenalan

Tamadun secara amnya didefinisikan sebagai pencapaian kemajuan dalam aspek kerohanian dan jasmani sesuatu masyarakat yang memberi fokus dari sudut ilmu dan fizikal. Dari aspek negara ini, Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada beberapa tamadun bangsa yang merupakan dominan kepada kelompok tamadun Asia iaitu Tamadun Melayu, Tamadun Cina dan Tamadun India. Tamadun- tamadun ini telah menyumbang kepada dalam pembangunan daripada pelbagai aspek kepada masyarakat sejagat dan impaknya sangat besar terhadap pembangunan Malaysia.

 

2.0 Definisi Daya Cipta dan Daya Usaha

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, daya usaha bermaksud kegiatan (usaha) untuk memelopori sesuatu. Manakala, daya cipta pula memberi maksud kemampuan (kebolehan) untuk mengadakan, menghasilkan sesuatu. Dalam kata lain, daya cipta adalah merupakan sebuah proses mental yang melibatkan pemunculan gagasan atau konsep baru antara pengetahuan yang sedia ada (Wikipedia, n.d.). Oleh yang demikian, daya cipta dan daya usaha tamadun-tamadun Asia ini dilihat dengan penghasilan perkara baharu dan penambahbaikan perkara yang sedia ada sekaligus memberi kesan dan sumbangan besar kepada Malaysia terutamanya dalam aspek sosiobudaya, ekonomi dan pendidikan.

 

3.0 Tamadun Melayu

Dari aspek sosiobudaya, tamadun Melayu telah memartabatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu sebagai adat resamnya. Islam dan adat Melayu menjadi adalah struktur dan elemen penting kemelayuan dalam tamadun Malaysia dengan menekankan unsur- unsur akidah, akliah, persamaan sosial, keadilan, dan kemulian insan. Kesannya adalah kepada masyarakat Melayu yang mengamalkan ciri-ciri sosial Hindu ketika itu yang mula sebati dengan ciri- ciri sosial Islam. Agama islam telah menjadi agama bagi Persekutuan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan masih kekal sehingga kini (Zainul Rijal Abu Bakar, 2019). Masyarakat Melayu turut terkenal dengan seni muzik, sastera dan seni bina. Terdapat pelbagai jenis warisan kesenian ini yang dapat dilihat dalam pelbagai bentuk contohnya pada reka bentuk khubah dan hiasan mimbar di masjid. Alunan muizk seperti nasyid dan qasidah bagi seni lagu juga salah satu seni muzik masyarakat melayu. (Rujuk lampiran 1)

 

Dalam aspek ekonomi pula, penubuhan bebebrapa agensi hartanah seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau Federal Land Development Authority (FELDA) pada tahun 1956 merupakan bukti kemajuan Malaysia dan berfungsi bagi merancang pembangunan tanah yang merangkumi pembukaan petempatan baru dalam usaha ke arah kemajuan dan permodenan masyarakat Melayu dalam ekonomi khususnya di luar bandar. Hal ini kerana, tanah-tanah baru merupakan tumpuan utama kerajaan untuk berusaha memodenkan orang Melayu di kawasan luar bandar dengan menyediakan kemudahan infrastruktur. Oleh itu, penubuhan FELDA telah menjadi penggerak kepada tamdun melayu untuk terus berkembang dalam bidang ekonomi di Malaysia.

 

Dalam aspek pendidikan pula, masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, kedatangan islam telah menjadikan ilmu sebagai perkara terpenting dan menjadikan istana kemudian rumah-rumah ulama’ atau tok guru, masjid, pondok dan madrasah sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan (Nizan Said, 2007). Oleh itu, bagi memperkasakan pendidikan, kerajaan telah menubuhkan institusi-institusi agama seperti sekolah agama, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), institut Darul Quran, menubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), serta pembiayaan kelas-kelas al-Quran, fardu ain dan sebagainya. Ini turut membawa Malaysia menjadi antara pusat institusi keislaman besar di peringkat global.

 

 

4.0 Tamadun Cina

Dalam aspek sosiobudaya, sumbangan yang dapat dilihat adalah dalam aspek penggunaan sistem feudal tamadun Cina. Menurut Mohd Razimi Husin, Md. Shahaidil Ab Rahman (2018), menyatakan sistem feudal ini berdasarkan konsep seorang maharaja yang mempunyai kuasa tertinggi. Manakala di Malaysia, penggunaan maharaja digantikan dengan sultan yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat. Dengan penggunaan sistem ini, pentadbiran kerajaan menjadi lancar kerana tugas-tugas penting akan dilaksanakan oleh sultan.  Berdasarkan Mohd Razimi Husin & Md Shahaidil Ab Rahman, 2018, daya inovasi dapat dilihat menerusi kesenian tamadun Cina. Tamadun cina juga melopori kesenian dalam bidang pembangunan moden mahupun tradisional Cina yang dibuat melalui penebukan lubang lalu dicantum rapi dan kukuh tanpa menggunakan paku atau pengikat dapat dilihat pada bangunan Dagoba, Pagoda dan Pavilion. Antara contoh bangunan iaitu masjid yang mengambarkan tamadun cina (Rujuk lampiran 2).

 

Dalam bidang ekonomi, penggunaan sistem mata wang yang dahulunya diperkenalkan semasa Dinasti Shang akhirnya diterapkan di Tanah Melayu bagi menggantikan sistem barter. Sistem ini telah menjadikan setiap urusan berjalan lancar dalam aspek pengurusan kewangan Malaysia dengan memudahkan banyak urusan jual beli. Selain itu, dalam bidang pertanian pula, tamadun China turut menyumbang kepada sistem perairan yang baik. Menurut Azhar Mad Aros (2009), kawasan sawah padi tamadun China dilengkapi dengan sistem perairan yang sistematik, iaitu sistem parit yang mengasingkan sawah padi kepada petak-petak sawah yang kecil. Penciptaan kolar kuda untuk menarik tenggala kayu, kereta kuda, dan kereta sorong beroda serta penyisir tanah juga menyumbang kepada hasil pertanian yang lebih banyak. Di Malaysia, sistem tanaman bergilir telah diamalkan. Hal ini demikian bukan sahaja untuk menjaga kesuburan tanah, malah untuk meningkatkan hasil padi negara.

 

Dalam aspek pendidikan, tamadun Cina telah memperkenalkan Sistem Peperiksaan Awam (SPA) yang merupakan mekanisme yang memilih individu yang bijak dan bagi membantu mentadbir negara. Menurut Mohd Razimi Husin & Md Shahaidil Ab Rahman (2018), golongan terpelajar dipilih untuk menjawat jawatan dalam pentadbiran negara yang berdasarkan tahap kelulusan dalam Sistem Peperiksaan Awam Cina. Mengikut tamadun Cina, masyarakatnya menghargai pendidikan, perniagaan, dan kesusasteraan dengan matlamat utama pendidikannya adalah untuk lulus peperiksaan awam kerajaan. Sistem ini telah dicontohi hampir di seluruh dunia termasuklah Malaysia di mana peperiksaan awamnya ialah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tambahan pula, penggunaan alatan matematik dari tamadun cina seperti sempua masih digunakan sehingga hari ini dalam sistem pembelajaran matematik untuk mengira tambah dan tolak sesuatu digit juga.

 

5.0 Tamadun India

Dari aspek sosiobudaya, tamadun India telah bayak mempengaruhi masyarakat Malaysia dalam konteks adat istiadat, perkahwinan, kepercayaan, kesenian dan makanan masyarakat Malaysia. Contohnya, terdapat rempah tradisional serta makanan masyarakat India seperti roti canai, tosai, capati dan nasi daun pisang. Makanan ini telah berjaya dipromosikan di serata dunia dan tarafnya setanding dengan nasi lemak yang merupakan makanan tradisional Melayu (Anak Sangop, A., Palah, A., Abdul Rahman, A., & Iman, N, 2014. Sebagai bukti, menurut artikel Berita Harian bertarikh 27 September 2016 bertajuk “Roti terbang Mamu keliling Dunia”, Mohd Zambree Yacob yang menjalankan perniagaan roti canai terbang telah berjaya mengelilingi dunia untuk menyertai karnival serta pertandingan makanan. Malahan, beliau telah ditawarkan untuk menjadi Pesta Makanan Hokaido, Jepun. Terdapat juga seni bina yang bercirikan tamadun India yang dilihat di Malaysia yang mencontohi seni bina Taj Mahal yang penuh kreativiti dan unik (Rujuk lampiran 2).

Dari sudut ekonomi pula, tamadun India juga memberi pengaruh kepada perdagangan di Malaysia. Contohnya, menjalankan perdagangan sutera, emas, pembekal gading gajah dan sebagainya. Ini telah mendorong Malaysia untuk menjalinkan hubungan perdagangan luar dan dalam negara sehinggalah kini kita sudah menggapai beberapa kejayaan dalam bidang perdagangan. Buktinya, kejayaan ini telah membawa kepada keupayaan membentuk Zon Bebas Perdagangan Digital (DFZ) dalam tempoh singkat yang sukar diulangi oleh mana-mana negara lain (Utusan Online, 2017). Oleh itu, jelaslah bahawa perdagangan membawa kejayaan besar terhadap negara.

 

Dari aspek pendidikan, masyarakat India mendapatkan semua ilmu berkaitan sains dan teknologi melalui kitab suci mereka iaitu Kitab Veda. Antara penguasaan ilmu dalam kalangan masyarakat India ialah ilmu astronomi, perkembangan matematik, pengenalpastian kod dalam komunikasi tertentu. Contohnya, penciptaan kalendar bagi mengenal musim, tahun, bulan dan hari telah memebri impak kepada sistem pendidikan. Penciptaan logam dan bahan besi juga menunjukkan daya cipta tamadun India dalam bidang pertukangan yang masih digunakan sehingga sekarang (Ghazali Darusalam, n.d.).

 

6.0 Penutup

            Kesimpulannya, tamadun Melayu, Cina dan India akan mewujudkan sebuah kepelbagaian dalam sesebuah tamadun yang baru. Oleh itu, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan berdaulat mempunyai pelbagai keistimewaan dan tarikannya tersendiri Justeru, setiap individu perlulah menyemai sifat kedamaian dan berusaha untuk mengekalkan tali persaudaraan yang dibina agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang bertamadun.

 

 




BIBLIOGRAFI

 

Buku

Azhar Hj. Mad. Aros. (2004). Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (TITAS) Kertas 1 dan 2. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Ghazali Darusalam. (n.d). Modul MPU 3132 Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala

      Lumpur: Open University Malaysia.

 

Husin, M., & Ab Rahman, M. (2018). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) (2nd ed.). Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

 

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Nizan Said. (2007). Revisi Kilat SPM Sejarah. Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

 

 

Akhbar

Abu Bakar, Z. (2019). Islam sebagai Agama Persekutuan. Sinar Harian. Dimuat turun daripada https://www.sinarharian.com.my/article/26354/KOLUMNIS/Islam-sebagai-agama-Persekutuan

Mohd Yunus, Z. (2018). 'Taj Mahal' Malaysia. Berita Harian. Dimuat turun daripada https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/kembara/2018/04/418508/taj-mahal-malaysia

Utusan Online. (4 November , 2017). Kejayaan DFTZ kebanggaan negara. Utusan ONLINE. Diperoleh daripada http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kejayaan-dftz-kebanggaan-negara-1.5471

Zulkifli, S. (2019). Masjid Sri Sendayan ‘Taj Mahal’ Malaysia. Sinar Harian. Dimuat turun daripada https://www.sinarharian.com.my/article/48924/BERITA/Warna-warni-Kehidupan/Masjid-Sri-Sendayan-Taj-Mahal-Malaysia

 

Internet

Anak Sangop, A., Palah, A., Abdul Rahman, A., & Iman, N. (2014). Kesan dan Pengaruh Tamadun India di Malaysia. Dimuat turun pada 9 Mac 2020, daripada https://maruwiahacis.wordpress.com/2014/12/18/kesan-dan-pengaruh-tamadun-india-di-malaysia/

Anwar, O. S. F. M. (2016, September 27). Roti terbang Mamu keliling dunia. Dimuat turun Mac 8, 2020, daripada https://www.bharian.com.my/node/196432

Bab 4 tamadun india. (2014). Diperoleh pada 9 Mac 2020, daripada https://www.slideshare.net/rajarosenani/bab-4-tamadun-india?next_slideshow=1

Daya cipta. Dimuat turun 8 Mac 2020, daripada https://id.wikipedia.org/wiki/Daya_cipta

Konsep & Rekabentuk Bangunan. (2010). Dimuat turun 8 Mac 2020, daripada http://www.masjidwilayah.gov.my/index.php/profail/konsep-rekabentuk-bangunan?start=2

TITAS CTU551: Tamadun India Sejarah dan Sumbangan. (2016). Dimuat turun 10 Mac 2020, daripada https://www.slideshare.net/AbdulHamzzah/titas-ctu551-tamadun-india-sejarah-dan-sumbangan

 

 

Jurnal

A. Majid, Nabihah; M. Juperi, Norfarain; Jasmi, Kamarul Azmi (2018). Tamadun Melayu Islam dan Pencapaian Teknologi in Prosiding Seminar Tamadun Islam 2018 pada 17hb. Ogos 2018 di Bilik Kuliah 6, Blok N28, UTM. Program anjuran Akademi Tamadun Islam, UTM, p. 171-182. ISBN: 978-967-2171-28-7.

Mohamad Kamil Hj. Ab Majid. (1997). Pemikiran Ibn Khaldun Mengenai Ilmu dan Sosio-

      Budaya. Jurnal Usuluddin, V. 6. 2008, 23-28. Universiti Malaya.

 

 

 

 

LAMPIRAN 1

Rajah 1: Bentuk kubah masjid yang mempunyai elemen seni bina Tamadun Melayu.

 

Rajah 2: Hiasan mimbar yang sangat cantik pada Masjid Wilayah Persekutuan yang dipengaruhi oleh kesenian Tamadun Melayu.

 

 

 

 

 

LAMPIRAN 2

Rajah 3: Reka bentuk Taj Mahal di Agra, India merupakan seni bina Tamadun India yang terkenal dan sangat unik.

Rajah 4: Masjid Sultan Abdullah di Pekan merupakan antara seni bina yang mencontohi reka bentuk Taj Mahal, ia digelar “Taj Mahal Malaysia”.

Rajah 5: Masjid Muhammadiah di Ipoh, Perak juga merupakan seni bina yang mencontohi seni bina Tamadun Cina.

Comments

Popular posts from this blog

REPORT AMALI 1 BIOLOGI (SCE 1034)

REPORT AMALI 1 KIMIA (SCE 1014)

ESEI 1 KESANTUNAN BAHASA MALAYSIA ( GSB1012)