ESEI 2 KESANTUNAN BAHASA MALAYSIA (GSB1012)

Pengenalan

Masyarakat Malaysia abad ke-21 ini khasnya golongan remaja telah jauh berbeza dari segi adat, budaya mahupun cara pertuturan mereka jika dibandingkan dengan zaman tok kaduk berkajang kain dahulu. Sikap remaja hari ini jelas sekali tidak melambangkan keperibadian yang luhur yang digariskan oleh kerajaan bagi melahirkan masyarakat yang produktif dan mulia budi pekertinya. Arus globalisasi yang membawa kepada kemajuan pembangunan dan budaya-budaya barat telah banyak mengubah mentaliti mahupun cara berfikir masyarakat hari ini sehinggakan berlakunya banyak masalah sosial yang mencacatkan institusi kemasyarakatan mahupun nama baik keluarga. Rentetan itu, perkembangan tersebut menyebabkan masyarakat hari ini lebih terdedah kepada alam siber sehingga memberikan kesan kepada komunikasi serta cara berinteraksi dalam konteks hidup bermasyarakat. Hal ini jelas mengakibatkan masyarakat tempatan semakin alpa mengenai kepentingan berbudi bahasa dan kesantunan berbahasanya. Mereka seolah-olah tidak mengendahkan penerapan amalan ini dalam jiwa mereka mahupun dalam sanubari anak-anak mereka. Oleh kerana dunia hari ini berkembang pesat selari dengan perkembangan teknologi, situasi ini dapat dilihat dengan jelas dalam media sosial. Semua strata masyarakat menunjukann sikap peribadi yang berbeza dek kerana identiti mereka disembunyikan dari tatapan umum. Oleh itu, terdapat beberapa contoh situasi yang tidak menerapkan amalan kesantunan dalam konteks media sosial.


(191 patah perkataan)



1.1 Isu Buli
Gambar 1 : Suspek yang disyaki telah membuli seorang pelajar UPNM sehingga maut





Buli secara amnya diklasifikasikan sebagai perbuatan mengasari orang yang lemah untuk memperlihatkan kekuatan atau keganasan seseorang. Perbuatan buli ini semakin hari semakin membimbangkan dek kerana kesannya yang semakin parah sehingga membabitkan nyawa pada akhirnya. Senario buli ini pada asalnya dipandang enteng oleh masyarakat kerana kesan dan implikasinya tidak dapat dilihat dengan jelas oleh setiap lapisan masyarakat. Namun sejak adanya jaringan jalur lebar yang mampu menghubungkan segenap sudut bumi ditambah pula dengan kecanggihan media sosial seperti Whatsapp, Telegram dan Instagram, segala maklumat berkaitan buli diperoleh dengan sahih dan tepat.  Satu insiden yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia melibatkan seorang pelajar 21 tahun di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) maut akibat ditekap dengan seterika wap sehingga menyebabkan kulitnya rosak dan meninggal dunia.
(120 patah perkataan)




Gambar 2 : Netizen memberi komen dan kecaman berkaitan kes buli pelajar UPNM di twitter


            Berikutan kes kematian Kadet Laut UPNM,  Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera rakan universiti selepas dituduh mencuri computer milik rakannya mendapat perhatian ramai netizen yang meluahkan perasaan serta pandangan mereka terhadap isu ini. Kecaman dan tohmahan yang keras dileparkan oleh rakyat Malaysia terhadap isu ini terhadap petuduh yang bersalah. Sebagai contoh, @nuraizat yang menyatakan para pesalah ini menyerupai lanun yang hatinya tidak berperi kemanusiaan dan kejam. Menyuarakan pandangan serta komen terhadap situasi semasa adalah bagus
(74 patah perkataan)

namun adab dalam menyuarakan pendapat haruslah diaplikasikan bagi tidak menyinggung hati mana-man pihak. Ini merupakan pandangan peribadi yang hanya mengikut nafsu apabila berkata-kata tanpa menghiraukan perasaan si pesalah yang dikecam teruk oleh setiap strata masyarakat. Oleh itu, sikap toleransi dan empati perlu ada dalam setiap diri insan supaya keharmonian hidup bermasyarakat dapat dirasai.
(53 patah perkataan)
      

1.2 ISU TIDAK MENGHORMATI GURU


Gambar 3 : Guru disaman kerana menegur anak muridnya untuk menunaikan solat

          Guru adalah modal insan yang harus dijadikan teladan serta perlu diangkat martabatnya di sisi masyarakat. Seorang jutawan, hartawan, doktor, angkasawan mahupun perdana menteri, ialah hasil didikan daripada titik peluh insan bergelar guru. Oleh itu, nadi pencetus ilmu ini harus dihormati malah disegani masyarakat akan bakti dan budinya. Namun, rasa hormat sesetengah murid kepada golongan pendidik ini semakin luntur dari hari ke hari selari dengan peredaran masa. Sifat biadab terhadap guru ini lama-kelamaan mencabar kesabaran guru-guru sehinggakan mereka bertindak mengambil tindakan tegas. Tindakan tersebut menimbulkan sifat tidak puas hati ibu bapa akan nasib anaknya sehingga melaporkan kepada pihak berkuasa dan menyaman guru berkenaan. Fenomena ini terjadi terhadap ustaz Adib di sebuah Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra pada Bulan Ogos 2017 yang lalu. Beliau merotan seorang murid berusia 11 tahun pada kedua-dua kakinya atas kesalahan tidak mahu solat.
(137 patah perkataan)



Gambar 5 : Kecaman netizen terhadap isu seorang guru yang disaman akibat menegur pelajarnya tidak menunaikan solat



Murid itu menunjukkan sikap tidak menghormati guru kerana tidak akur akan arahan guru. Hal ini sampai ke telinga ibu bapanya apabila murid itu mengadu seterusnya isu ini dibangkitkan kepada pihak atasan. Pada halnya guru hanya menyuruh murid untuk menunaikan perintah dan suruhan agama sahaja namun kes manjadi besar sehingga menjadi perhatian ramai. Komen di atas menunjukkan respon masyarakat Malaysia terhadap tindakan ibu bapa murid tersebut. Komen netizen terhadap isu ini adalah terlalu keras dan sepatutnya diganti dengan nasihat serta teguran supaya menjadi teladan, Komen seperti “bapak setan” tidak harus keluar dari mulut masyarakat Malaysia kerana ia menunjukkan akhlak dan peribadi yang tidak luhur. Hal ini jelas menggambarkan netizen hanya mengeluarkan kata-kata mengikut rasa tidak puas hati serta marah dan bukannya komen untuk membina.
(123 patah perkataan)


Kesimpulan
Secara analoginya, bayang kian jelas bahawa kesantunan dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin pudar dan luntur terutamanya golongan remaja. Tahap kesantunan berbahasa merupakan nilai-nilai murni yang dipupuk oleh nenek moyang melalui peribahasa semakin dilupakan. Ketertiban serta gaya pertuturan seseorang individu itu mungkin mempengaruhi kesantunan bahasa generasi pada masa hadapan. Generasi masa hadapan berkemungkinan menggunakan bahasa yang tidak beradab semasa bertutur dengan semua orang malahan ibu bapanya juga  mungkin akan mengalami permasalahan yang sama. Namun setiap masalah ataupun konflik pasti akan ada kunci untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan itu. Dalam hal ini, obligasi semua pihak seharusnya diketengahkan dan bukanlah hanya tertumpu pada satu pengaruh sahaja. Tindakan yang diharapkan oleh satu pihak sahaja dalam menyelesaikan permasalah ini tidak memberi kesan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Hal ini demikian kerana, masalah kesantunan bahasa akan melibatkan gaya pertuturan seseorang individu dalam berkomunikasi dengan masyarakat. Sebagai contoh dari sudut pandangan bagi remaja, ibu bapa seharusnya memantau pergerakan dan cara pertuturan anak-anak mereka supaya mereka dapat menggunakan bahasa yang betul di samping guru juga membuat pemantauan yang khas bagi setiap pelajarnya. Jelaslah menunjukkan bahawa semua pihak haruslah memainkan peranan penting bagi memastikan penggunaan bahasa yang baik dan sopan diamalkan oleh rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, semua pihak harus peka serta prihatin dalam menjadi nadi pengerak bagi melahirkan individu yang mengamalkan budaya kesantunan bahasa yang betul di samping berlumba-lumba bagi membantu aspirasi negara tercapai.
(227 patah perkataan)

Rujukan
1             Khairuddin Mohamad (2017).  Kesantunan Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

2             Abdul Latif Abd Rahman, Umar Ahmad, Muhaiyuddin Mohamed Azizi, Abu Zaki Romli,  Zulkafly Mohd Noor (2014). Kesantunan Masyarakat Malaysia. Pulau Pinang: 2014 Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang


3             Abdul Latif Abd Rahman, Umar Ahmad, Muhaiyuddin Mohamed Azizi, Abu Zaki Romli, Zulkafly Mohd Noor (2017). Kesantunan Masyarakat Malaysia. Pulau Pinang: 2017 Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang


4             Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka.



5             Asmah Omar. ( 2008 ). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur,   Malaysia : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Comments

Popular posts from this blog

REPORT AMALI 1 BIOLOGI (SCE 1034)

REPORT AMALI 1 KIMIA (SCE 1014)

ESEI 1 KESANTUNAN BAHASA MALAYSIA ( GSB1012)